Monday, April 6, 2009

Bicara Anak Lelaki


Suatu tengahari ketika di meja makan salah sebuah restoran tersohor sekitar kawasan Bandar Baru Bangi bersama empat rakan kongsi yang lain.

Setelah meletakkan pinggan di atas meja, aku terus memandang tepat ke arah kerusi di meja sebelah yang lesu tidak bertuan. Dengan pantas aku terus menyapa seorang brader di meja tersebut,

"Boleh ambik kerusi ni bro?" tegur aku kepada brader yang jelas makan berseorangan di situ.

"Sila-sila" balas brader tersebut yang kelihatan tercekik lantas menyebabkan beliau terus menggapai air sirap limau berhampirannya.

Tanpa berlengah, aku mengambil kerusi tersebut dan terus duduk bersama rakan-rakan kongsi yang lain. Kelihatan mereka sungguh tekun menyantuni lauk ikan keli dan ayam masing-masing. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan bicara,

"Minggu ni aku jadi makin malas pulak..." belum pun sempat aku menghabiskan perbualan, Kimi mula mencelah,

"Aku lagi le malas, nak pergi UKM pun malas" dengan tonasi yang agak lembut seolah-olah ingin menyembunyikan niat untuk berjimat kepada rakan kongsi yang lain.

"Itu mu tak apa lagi, mu dok luar. Aku pergi kelah UPB pun malah leni" sahut Mat Leh, juga seolah-olah terdapat niat ingin berselindung tentang sesuatu mengenai kelas Ujian Penilaian Nahan (UPB) yang diambil oleh beliau seorang diri.

"Mu dok pikir aku, Mat Leh tolong gerok pun aku malah pergi kelah...malah aku" herdik Payid secara tiba-tiba sambil beberapa butiran nasi diacukan tepat ke muka Kimi yang jelas terkejut dengan tindakan Payid.

Masing-masing seperti tidak mahu mengalah dalam persaingan merebut siapa yang paling malas. Tanpa diduga, kedengaran suara yang memecah keheningan dan seraya meneguk segelas air kosong Apull mula bersuara,

"Aku rasa korang belum malas sampai tahap aku lagi..."

Semua mata tepat menyorot ke arah beliau untuk mengetahui cerita selanjutnya.

"Aku punya malas..." ujar beliau sekat-sekat sambil meneguk air kosong kepunyaan Payid pula yang masih berbaki separuh.

Rakan kongsi yang lain masih terus memberikan perhatian terhadap percakapan beliau yang jelas tak keruan.

"Aku punya malas la...sampai aku nak cerita pun malas!"

Tersentak mendengar luahan tersebut, kami termenung seketika. Hembusan udara yang bertiup sepoi-sepoi bahasa pada ketika itu juga seolah-olah menggamit perasaan kami yang sedang bergelora pada ketika itu. Selang beberapa minit kemudian barulah kami mampu berfikir secara rasional semula dan menyambung kembali sesi makan tengahari yang kira-kira baru melepasi separuh masa pertama.

Sambil menyuap kembali nasi, aku mengangkat kening sebelah kanan ku lantas bermonolog seorang diri.

"Ada orang lagi malas dari aku rupanya...hmmm".

Wednesday, April 1, 2009

Counter Attack


Mereka mendesak aku berkali-kali. Mereka melakukan serangan bertubi-tubi ke atas diriku. Bahkan mereka tidak pernah jemu melancarkan perang psikologi terhadap aku. Mereka lupa bahwa aku seorang penyokong The Gunners yang pantang mengalah.

Ya, hakikatnya mereka sememangnya lupa. Lupa bahwa seteru mereka merupakan salah seorang pahlawan yang terbilang pada suatu masa dahulu. Namun aku bukan kuno seperti mana yang mereka bayangkan. Aku tak gentar. Aku ulangi, aku tak gentar.

Mereka baling batu, aku sambut.
Mereka baling selipar, aku mengamok.

Sunday, March 29, 2009

Hikayat Pembentukan Malaysia

Berasal dari Kelantan, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor. Tidak dinafikan mereka seharusnya tidak bertemu antara satu sama lain. Tiga di antaranya pernah ditempatkan bersama untuk suatu ketika namun mereka masih tidak menyedari akan kewujudan masing-masing.

Pada tahun 2006/2007 akhirnya mereka berlima telah ditemukan namun sifat ke'ego'an yang masih tersemat kemas di dalam sanubari masing-masing menyebabkan mereka cekal untuk tidak bertegur sapa dengan siapa pun malah terdetik di hati mereka "sungguh angkuh mereka-mereka yang lain..."

Sains Bahan. Di sinilah bermulanya detik pertemuan sebenar mereka di mana mereka terpaksa menghabiskan masa bersama bagi suatu tempoh masa yang panjang demi mencapai segulung tikar mengkuang. Sikap sombong mereka berterusan untuk 6 bulan yang pertama, lama-kelamaan mereka telah mula mengenali serba sedikit tentang latar belakang masing-masing. Sepanjang tempoh itu mereka mula di ajar untuk mengenali bahan-bahan yang terdapat di dunia dan mereka mula belajar mengenainya dengan sikap acuh tak acuh. Siapa sangka konsep bahan yang diajarkan kepada mereka akan menyebabkan mereka menjadi pakar bahan atau lebih tepat pakar untuk membahan mereka yang kurang bernasib baik?

Tempoh 6 bulan seterusnya telah menyebabkan mereka terpaksa mengenali lebih mendalam antara satu sama lain di mana sebulat suara memutuskan untuk menjalin hubungan diplomatik pada majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Malaysia. Maka bermulalah suatu era penuh pancaroba sehinggakan paradigma terpaksa menganjak mereka ke pesisir laut.

Antara aspek yang sering mencetuskan gangguan emosi dikalangan mereka adalah bola sepak. Bola sepak acap kali menjadi bahan penceritaan mereka seharian. Mereka berpegang pada konsep 'siapa kalah akan dibahan'. Begitulah sikap mereka yang tidak pernah lupa akan apa yang dipelajari malah mengasimilasikan konsep yang telah dipelajari tersebut ke dalam rutin kehidupan seharian mereka. Pasukan kegemaran mereka antaranya terdiri daripada pasukan Arsenal F.C, Chelsea F.C, Manchester United F.C (namun kini bertukar kepada Liverpool F.C), F.C Barcelona dan Real Madrid F.C. Terdapat pertikaian yang timbul apabila dua daripada mereka yang berasal dari Perak dan Kelantan dikatakan turut meminati pasukan yang sama.

Kewangan turut menjadi agenda utama dalam sesi pergaulan mereka. Ada di kalangan mereka yang sanggup mengikat perut hingga terpaksa memakan kertas dalam sehari demi meneruskan penghidupan. Sudah tentu peristiwa seperti itu tidak akan terlepas menjadi topik perbualan hangat mereka berlima tatkala makan malam di restoran serba mewah seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Maka kepada yang bernasib kurang baik akan terus menjamu selera sambil menikmati alunan gelak tawa berbaur sindiran oleh mereka yang lebih bernasib baik. Disebabkan oleh pengaruh kewangan juga, mereka berlima yang telah merancang awal percutian penuh nostalgia dan dramatik terpaksa menukar hasrat daripada bercuti dan melawat tempat-tempat bersejarah serta menarik di Malaysia kepada hanya lawatan sambil belajar di The Mines dan Sunway Pyramid. "Bukankah Sunway Pyramid ini juga mempunyai ukiran piramid, ikon salah satu perkara ajaib di dunia. Apa perlu lagi kita ke Gunung Ledang dan Genting Highland!" laung mereka serentak dengan sedikit nada sesal.

Kursus GGGE2123. Mereka telah mengikuti kursus ini pada tahun 2008/2009. Kursus yang telah membawa kejutan dan impak yang besar kepada kelaziman diri mereka sekaligus mencetus suatu inovasi dalam mentaliti mereka berlima. Jika dahulunya mereka akan menghantar tugasan dalam tempoh 6 bulan hanya sekali dengan meniru dan menindas mereka yang lemah tetapi kini tidak lagi. Mereka terpaksa berhempas pulas menyiapkan tugasan yang diberikan dalam masa dua minggu sekali dengan semangat kekecewaan yang membara.

Turut dilampirkan gambar mereka berlima pada majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Malaysia.

Friday, March 27, 2009

Berlari Ke Awan

Aku berlari menjejaki awan,
Tanpa sedar ku lihat awan hitam,
Mengembalikan mendung semalam,
Membawa ribut dan juga taufan

Aku sudah biasa dengan kelaparan,
Sudah biasa dengan gurauan dunia,
Untuk apa ekori ku, ketahui ku,
Tak keseorangan kerana aku bertemankan...
Alam.

Aku berlari dan terus berlari,
Mengejar bintang yang masih berkelipan,
Oh, awan hitam pergilah jauh,
Hanyut dalam gelora lautan.

Aku sudah biasa dengan kelaparan,
Sudah biasa dengan gurauan dunia,
Untuk apa ekori ku, ketahui ku,
Tak keseorangan kerana aku bertemankan...

Alam.

Pautan: https://youtu.be/CqAKO5D60DQ

Bicara Anak Lelaki

Suatu tengahari ketika di meja makan salah sebuah restoran tersohor sekitar kawasan Bandar Baru Bangi bersama empat rakan kongsi yang lain....