Sunday, March 29, 2009

Hikayat Pembentukan Malaysia

Berasal dari Kelantan, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor. Tidak dapat dinafikan mereka seharusnya tidak bertemu antara satu sama lain. Tiga diantaranya pernah ditempatkan bersama untuk suatu ketika namun mereka masih tidak mengetahui kewujudan masing-masing.

Pada tahun 2006/2007 mereka berlima telah ditemukan namun di sebabkan ke 'ego' an yang tersemat di dalam sanubari masing-masing menyebabkan mereka kental tidak bertegur sapa dengan sesiapa hinggakan terdetik di hati mereka "sungguh angkuh mereka yang lain.."

Sains Bahan. Disinilah detik sebenar pertemuan mereka di mana mereka terpaksa menghabiskan masa bersama untuk tempoh masa yang ditetapkan demi mencapai segulung??
Sikap sombong mereka berterusan untuk 6 bulan yang pertama meskipun mereka telah mula mengenali serba sedikit tentang latar belakang diri masing-masing. Dalam tempoh itu mereka mula di ajar mengenali bahan-bahan yang terdapat di dunia dan mereka mula belajar mengenai bahan-bahan tersebut sedikit demi sedikit dengan sikap acuh tak acuh. Siapa sangka konsep bahan yang diajar kepada mereka akan menyebabkan mereka menjadi pakar bahan atau lebih dikenali sebagai pakar untuk membahan mereka yang kurang bernasib baik?

Tempoh 6 bulan seterusnya telah menyebabkan mereka dipaksa untuk mengenali antara satu sama lain dan menjalinkan hubungan diplomatik hingga akhirnya mereka memutuskan untuk makan malam bersama di sebuah hotel terkemuka di Malaysia. Maka bermulalah era yang penuh pancaroba bagi mereka sehinggakan paradigma terpaksa menganjak mereka.

Salah satu aspek yang mencetuskan gangguan emosi dikalangan mereka adalah bola sepak. Bola sepak sering menjadi bahan penceritaan mereka seharian. Mereka memegang konsep 'siapa kalah akan di bahan'. Begitulah sikap mereka yang tidak pernah lupa akan apa yang di ajar sekaligus mengasimilasikan konsep yang telah di pelajari dalam rutin harian mereka.Pasukan kegemaran mereka antaranya terdiri daripada pasukan Arsenal F.C, Chelsea F.C, Manchester United F.C (kini bertukar kepada Liverpool F.C), F.C Barcelona dan Real Madrid F.C. Persoalan timbul apabila dua daripada mereka yang berasal dari Perak dan Kelantan turut meminati pasukan yang sama?

Kewangan turut menjadi agenda utama dalam pergaulan mereka. Ada di antara mereka yang sanggup mengikat perut dan hanya memakan kertas dalam sehari demi meneruskan penghidupan. Sudah tentu peristiwa seperti itu tidak akan terlepas menjadi topik perbualan hangat mereka berlima tatkala makan malam di restoran serba mewah seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Maka kepada yang bernasib kurang baik akan terus menjamu selera sambil menikmati alunan gelak tawa berbaur sindiran oleh mereka yang bernasib lebih baik. Disebabkan oleh pengaruh kewangan juga, mereka berlima yang dahulunya merancang percutian penuh nostalgia dan dramatik terpaksa menukar hasrat daripada bercuti dan melawat tempat-tempat bersejarah serta menarik di Malaysia seperti Gunung Ledang dan Genting Highland kepada lawatan sambil belajar di The Mines dan Sunway Pyramid. "Bukankah Sunway Pyramid juga mempunyai ukiran piramid sebagai lambang salah satu perkara ajaib di dunia, apa perlu lagi kita ke Gunung Ledang dan Genting Highland" laung mereka serentak.

Kursus GGGE2123. Mereka telah mengikuti kursus ini pada tahun 2008/2009. Kursus yang telah membawa kejutan dan impak yang besar kepada kelaziman diri mereka sekaligus mencetus satu inovasi dalam mentaliti mereka berlima. Jika dahulunya mereka menghantar tugasan dalam tempoh 6 bulan hanya sekali sambil meniru dengan menindas mereka yang lain tetapi kini tidak lagi, mereka berhempas pulas menyiapkan tugasan yang diberikan dalam masa 2 minggu sekali dengan keazaman yang membara.

Disini saya lampirkan gambar mereka berlima ketika majlis makan malam di salah sebuah hotel terkemuka di Malaysia.

3 comments: